Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan harga beras tempatan kekal sekitar RM2.60 sekilogram dan tidak berlaku kenaikan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga beras putih yang dilaporkan naik lima peratus itu adalah merujuk kepada beras import yang berkualiti tinggi.
“Sekarang heboh mengenai beras putih naik harga lima peratus. Saya beri jaminan yang naik itu hanya harga beras import yang berkualiti tinggi iaitu untuk makanan orang kaya.
“Tetapi untuk orang awam, rakyat Malaysia, keadaan beras adalah terjamin di sekitar RM2.60 sekilogram,” katanya menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Shir Yee bertanyakan langkah diambil kementerian untuk menambah baik kedudukan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) Malaysia dan untuk memastikan bekalan bahan makanan penting seperti telur, gula dan beras mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya sedang meningkatkan usaha untuk mencukupkan pengeluaran beras tempatan termasuk melaksanakan Program Smart Sawah berskala besar.
“Memang sekarang pesawah kebanyakannya dijalankan oleh mereka yang berumur. Dengan konsep berskala besar dan penggunaan teknologi baru, anak muda mula terlibat secara aktif misalnya di Kedah kita lihat pemandu dron semuanya anak-anak muda dan berkelulusan universiti.
“Mereka terlibat secara aktif dalam pertanian dan kita sedang galakan lagi (penglibatan anak muda ini) dengan memberikan pelbagai insentif,” katanya.
Mohamad juga yakin Malaysia boleh mencukupkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi beras jika terus berusaha dengan cara moden dan baru selain kerjasama dalam kalangan penanam padi.
“Sebelum ini pun, stok beras kita mencukupi walaupun dalam keadaan pandemik. Soal beras ini, tak berlaku kekurangan walaupun kadang ada kekurangan di satu dua tempat,” katanya.
Beliau menjelaskan, pihak Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan kerajaan sentiasa berpadu tenaga untuk memastikan beras mencukupi walaupun ketika suasana sukar.
Sumber: Harian Metro