Ipoh: Padah mencurahkan cecair dipercayai sabun ke mata rakan sekelas, seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes di sebuah sekolah menengah berasrama di Gerik.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima berpandukan laporan polis yang dibuat bapa mangsa jam 12.22 tengah hari semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 19 Mei lalu ketika mangsa yang juga berusia 13 tahun sedang tidur di dalam bilik asrama sekolah berkenaan.
Katanya, sewaktu kejadian, mangsa sedang tidur sebelum menyedari kedua-dua belah matanya dicurahkan cecair dipercayai sabun.
“Mangsa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini dan pemeriksaan pakar mengesahkan mangsa mengalami kecederaan ‘Bilateral Eye Chemical Injury Grade 1’,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, tangkapan dibuat ke atas pelajar itu bagi siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kerana mendatangkan kecederaan.
Katanya lagi, pihaknya juga akan memanggil beberapa saksi termasuk guru dan pelajar lain bagi membantu siasatan kes sebelum merujuk kertas siasatan itu kepada pihak pendakwaan sebaik siasatan selesai.
Sumber: Harian Metro