fbpx

Hubungan akrab Malaysia-Indonesia selesaikan pelbagai isu berlarutan puluhan tahun – Anwar

Putrajaya: Malaysia dan Indonesia berjaya menyelesaikan pelbagai isu yang berlarutan puluhan tahun menerusi kerjasama akrab dan komitmen yang ditunjukkan pemimpin kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu terbukti menerusi termeterainya beberapa memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang berkaitan sempadan, ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Anwar turut menyifatkan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang kini mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai Rabu sebagai sahabat sejati dan perundingan yang dilakukan antara kedua-dua negara sebagai perundingan keluarga dan sahabat.

“Saya tidak mahu menganggap ini sebagai lawatan kerja biasa ataupun hubungan dua hala biasa kerana anggap (Presiden Indonesia) Jokowi dan rakan Indonesia yang saya ungkap tadi sebagai sahabat sejati dan perundingan kita itu perundingan keluarga, sahabat,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Anwar turut berkata kerjasama dua hala antara kedua-dua negara bukan saja membanggakan tetapi memberi manfaat kepada pemerintah dan rakyat kedua-dua negara.

“Ini sangat akrab dan memudahkan dan saya berbangga pimpinan dua-dua hari ini, kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama berpuluh tahun,” katanya yang merujuk isu persempadanan maritim antara wilayah membabitkan Laut Sulawesi dan Selat Melaka yang berjaya diselesaikan selepas 18 tahun.

Sementara itu, Jokowi meminta kerajaan Malaysia menghantar pulang segera warga Indonesia yang berada di depoh tahanan imigresen selain berharap penggunaan saluran tunggal (one channel system) dalam urusan pengambilan pekerja domestik Indonesia dioptimakan.

Dalam pada itu, Anwar dan Jokowi turut menyaksikan pertukaran enam instrumen perjanjian dua hala.

Enam instrumen itu adalah Perjanjian Lintas Sempadan Antara Malaysia dan Indonesia, Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka; Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi; Perjanjian Perdagangan Sempadan; Kerjasama Promosi Pelaburan dan Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Bagi Produk Domestik.

Lawatan Jokowi disifatkan cukup signifikan dalam usaha meningkatkan hubungan erat yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah pada 2019, selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts