PUTRAJAYA: Mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi boleh memohon tajaan menerusi Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 3 hingga 7 Julai ini.
JPA menerusi kenyataan hari ini, berkata permohonan itu boleh dibuat susulan keputusan kerajaan untuk meneruskan program penajaan JPA dalam bidang berkaitan.
“Penajaan JPA bagi bidang ini bagi tahun 2023 boleh dimohon mengikut tempoh penawaran ditetapkan seperti PIDN bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama dari 3 hingga 7 Julai ini.
“Bagi Program Khas Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia Dalam Negara (LSPM) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 pula dilanjutkan sehingga 23 Jun ini,” katanya.
JPA berkata, sebarang maklumat lanjut berhubung perkara berkenaan boleh dirujuk di laman web esilav2.jpa.gov.my.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata, JPA akan meneruskan program tajaan biasiswanya kepada pelajar perubatan, pergigian dan farmasi di institut pengajian tinggi selepas mendapati terdapat unjuran keperluan pada masa depan.
Perdana Menteri berkata, keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) menghentikan penajaan JPA dalam tiga bidang berkenaan yang diumumkan di Parlimen Selasa lalu, dibuat mengikut dasar terdahulu dan perlu dikaji semula.
Katanya, unjuran terkini yang dibuat mendapati terdapat keperluan penajaan kepada program berkenaan diteruskan berikutan terdapat kes doktor kontrak meletak jawatan dan memilih sektor swasta dalam laluan kerjaya mereka.
Sumber: Berita Harian