fbpx

Tol percuma di SUKE hingga 29 Jun

SUKE Highway, September 14, 2022. — GLENN GUAN/The Star

Kuala Lumpur: Pengguna Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) fasa dua akan menikmati tol percuma selama dua minggu bermula 12.01 tengah malam ini, hingga 29 Jun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, SUKE fasa dua membabitkan baki jajaran utama sepanjang 7.8 kilometer (km) bermula dari Sri Petaling, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) sehingga Persimpangan Cheras-Kajang.

Katanya, ia memiliki satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai yang akan beroperasi secara percuma selama dua minggu berkenaan.

“Pembukaan fasa terbaharu itu melengkapkan objektif utama Lebuhraya SUKE iaitu mengurangkan kepadatan trafik khususnya di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Lebuh ini dijangka dapat membantu menyuraikan kepadatan trafik di MRR2 dan memendekkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang kepada 25 minit, berbanding 75 minit melalui laluan sedia ada,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Fasa Dua Lebuhraya Bertingkat SUKE di sini hari ini.

Alexander berkata, menerusi pembukaan jajaran fasa dua berkenaan, pengguna dapat menggunakan keseluruhan jajaran utama Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer dari Sri Petaling ke Ulu Kelang.

Beliau berkata, terdapat satu lagi persimpangan iaitu Jalan Susur (Ramp) Jalan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka siap dalam suku ketiga tahun ini.

“Secara keseluruhan, projek Lebuhraya Bertingkat SUKE sudah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 99.54 peratus sehingga 4 Jun lalu.

“Lebuhraya SUKE adalah rangkaian lebuh raya yang menghubungkan lima lebuh raya lain iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL atau Lebuhraya Salak.

“Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prolintas menasihatkan semua pengguna lebuh raya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memandu secara berhemah,” katanya.

Katanya, pengguna juga diminta sentiasa mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan.

“Jangan sewenang-wenangnya berhenti di tepi lebuh raya ini untuk mengambil gambar dan berswafoto.

“Panorama di Lebuhraya SUKE memang sangat menarik dan indah, namun jangan sesekali kita mengabaikan keselamatan diri kita dan pengguna lebuh raya lain,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts