fbpx

Operasi buru along, polis tahan 38 individu

GEORGETOWN: Polis sudah menahan 38 individu kerana disyaki terbabit dengan sindiket haram pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along di negeri ini.

Semua individu itu ditahan di sekitar utara tanah air termasuk di negeri ini selepas operasi memburu along dilancarkan pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin, berkata individu yang ditahan membabitkan 34 lelaki dan empat wanita.

“Setakat semalam sejak operasi dilancarkan, seramai 38 individu sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka berusia antara 21 hingga 72 tahun dan ditahan di sekitar Pulau Pinang serta negeri lain berhampiran,” katanya selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Ini lawatan pertamanya selepas dilantik Ketua Polis Pulau Pinang, pada 12 Mei lalu.

Kok Chin berkata, selain itu ada juga tangkapan membabitkan mereka yang ditahan sebelum ini dan siasatan kes sedang dilakukan.

Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada semua yang ditahan terbabit dengan ugutan menerusi surat layang diterimanya pada 1 Jun lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951,” katanya.

Pelancaran operasi memburu along itu membabitkan 28 pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Operasi itu dijalankan susulan Kok Chin menerima surat layang dengan ugutan jenayah dipercayai daripada sindiket along, yang dihantar menerusi perkhidmatan Pos Malaysia pada 1 Jun lalu.

Surat itu mengandungi ugutan balai polis akan dibakar jika Kok Chin terus mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan, selain menerima enam keping replika wang kertas atau ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts