PUTRAJAYA : Tarif baharu Tarif Elektrik Hijau (GET) ditetapkan pada kadar 21.8 sen/kWj berkuat kuasa 1 Ogos ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut beliau, penetapan itu adalah berdasarkan kepada penanda aras harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk sama.
“Sementara itu, kadar pemium GET sedia ada iaitu 3.7 sen/kWj dikekalkan sehingga 31 Julai ini.
“Dengan ketetapan ini, kerajaan berharap pengguna akan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap program GET. Ini kerana proses penawaran dan kendalian program ini dilakukan berasaskan prinsip sistem penjanaan dan pembekalan elektrik hijau.
“Pada masa sama langganan GET turut memberikan nilai tambah dalam menyokong usaha peralihan tenaga negara melalui pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalab elektrik negara,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memaklumkan, had kuota 30 peratus yang ditetapkan sebelum ini kepada langganan GET juga akan dimansuhkan.
“Ini bermaksud pengguna boleh melanggan GET sehingga 100 peratus keperluan tenaga,” jelasnya.
Menurutnya, hasil kutipan daripada pelaksanaan GET itu akan digunakan untuk tujuan pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara.
Selain itu, beliau memberitahu, pengguna GET akan diberi pengecualian caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT) kerana penjanaan daripada TBB tidak melibatkan penggunaan bahan api fosil.
Sumber: Astro Awani