AMPANG: Seorang penyelia syarikat didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana menyamar sebagai kontraktor Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menipu seorang pesara warga emas berhubung penurapan jalan.
Bagaimanapun, K Letchumanan, 44, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Normaizan Rahim.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa memperdayakan Loh Min Leong, 70, bahawa tertuduh adalah kontraktor MPAJ yang ingin membuat kerja turapan jalan hingga mangsa menyerahkan wang RM200.
Kesalahan dilakukan di Kampung Ampang Indah, jam 11 pagi, 10 Julai lalu, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin, menawarkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Parkash Singh, memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan anak guam berpendapatan tidak tetap dan menanggung keluarga.
“Tertuduh sudah berkahwin dan menanggung isteri serta seorang anak yang belajar di kolej,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam lelaki dipercayai terbabit dengan penipuan khidmat penurapan jalan di sekitar Ampang.
Suspek berusia 20 hingga 44 tahun itu mendakwa mereka adalah pekerja dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, dipetik berkata suspek menawarkan perkhidmatan penurapan jalan di hadapan rumah dengan harga RM500.
Sumber: Berita Harian