fbpx

Shuttle bas percuma HSA, HSI manfaat 31,000 pengguna

JOHOR BAHRU: Perkhidmatan bas percuma atau shuttle bas di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini telah memanfaatkan seramai 31,000 pengguna sejak beroperasi pada Oktober, tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Fadzil Abdul Hamid berkata, penggunaan tertinggi adalah melibatkan HSI iaitu seramai 21,000 pengguna, manakala seramai 10,000 pengguna di HSA.

Menurut beliau, pihaknya komited untuk terus meningkatkan lagi kesedaran awam tentang perkhidmatan yang disediakan kerajaan negeri.

“Bagi perkhidmatan di HSI, laluannya adalah melibatkan tempat letak kenderaan di pasar raya Lotus Tebrau, yang mana berjarak kira-kira 3 kilometer daripada hospital berkenaan.

“Sementara itu, bagi perkhidmatan di HSA pula, tempat letak kenderaan adalah di Larkin Sentral yang berjarak kira-kira 10 kilometer dengan hospital berkenaan. Kedua-dua perkhidmatan bas itu melibatkan masa menunggu antara 15 minit hingga 30 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis penyerahan dua mesin dialisis kepada Pusat Dialisis Klinik Wakaf An Nur Pasir Gudang, di sini semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Abdul Malik Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf An-Nur, Bukhari Abd. Rahman.

Tambah Fadzil, pihaknya sedang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk meneliti lokasi tempat letak kenderaan yang lebih bersesuaian bagi meningkatkan lagi penggunaan shuttle bas tersebut, khususnya melibatkan HSA.

“Kita ada dua lokasi yang berpotensi dijadikan tempat letak kereta bagi perkhidmatan ini ke HSA, namun beberapa faktor perlu dibincangkan terlebih dahulu termasuklah aspek keselamatan.

“Selain itu, beberapa penambahbaikan juga telah dilakukan termasuklah dengan menambah laluan shuttle bas di HSA, di mana dahulu ia hanya berhenti di pintu utama, namun kini ia turut melalui kawasan dalam hospital,” ujarnya.

Sumber: Utusan

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts