SEREMBAN: Dua wanita kerugian lebih RM1 juta selepas membuat pelaburan tidak wujud akibat terpedaya dengan pulangan lumayan bakal diterima mereka.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada mangsa membabitkan penipuan pelaburan itu pada Isnin lalu.
“Kes pertama membabitkan wanita pekerja swasta berusia 44 tahun yang mengalami kerugian RM621,800 dan laporan dibuat di Balai Polis Bahau, Jempol.
“Kes berlaku selepas mangsa melayari aplikasi TikTok pada 16 Mac lalu dan melihat satu profil menawarkan pelaburan emas sebelum menghubungi pemilik akaun berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemilik akaun memberitahu pelaburan dijalankan menawarkan pulangan lumayan dalam mata wang dolar Amerika menyebabkan mangsa berminat untuk melabur.
“Mangsa diberikan pautan satu laman sesawang dan beberapa nombor akaun serta meminta mangsa memasukkan wang ke akaun berkenaan.
“Mangsa membuat 27 kali transaksi berjumlah RM621,800 dan hanya mendapat keuntungan RM20,000. Selepas itu, dia tidak mendapat sebarang keuntungan, sekali gus menyedari ditipu,” katanya.
Ahmad Dzaffir berkata, kes kedua diterima di Balai Polis Paroi, di sini, membabitkan wanita berusia 63 tahun yang kerugian RM500,000.
“Ahli keluarga warga emas itu memperkenalkan satu syarikat pelaburan di ibu negara pada Jun 2020. Mangsa bersetuju menyertai pelaburan ini dengan dijanjikan keuntungan antara 15 hingga 17 peratus sebulan selama tiga tahun.
“Mangsa bersetuju dan menyerahkan pembayaran RM500,00 dan menerima keuntungan RM6,250 sebulan selama enam bulan yang dimasukkan ke akaun banknya.
“Bagaimanapun, bermula Januari 2021 hingga laporan polis dibuat, mangsa tidak menerima lagi keuntungan dijanjikan, selain mendapati syarikat berkenaan ditutup.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Justeru, Ahmad Dzaffir berkata, polis menasihatkan orang ramai berhati-hati membuat pelaburan terutama membabitkan proses dilakukan secara dalam talian atau yang menawarkan pulangan tinggi.
Sumber: Berita Harian