PUTRAJAYA: Sebanyak 91 daripada 436 klinik kesihatan daif di seluruh negara sudah dinaik taraf, manakala baki selebihnya dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata kerja baik pulih itu akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) secara berfasa bagi 1,200 klinik kesihatan daif yang sudah dikenal pasti di seluruh negara.
“Untuk tahun ini kita mengenal pasti 436 klinik daif yang akan dibaik pulih dan pada tahun depan, kita menyasarkan lebih 300 klinik lagi.
“Kerja menaik taraf ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan membabitkan kos RM110 juta,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pengurusan Fasiliti Penjagaan Kesihatan (HcFM CONFEX) 2023 di sini, hari ini.
Dr Zaliha berkata, jumlah klinik kesihatan daif paling banyak dikenal pasti adalah di Terengganu iaitu 58 klinik, diikuti Negeri Sembilan (44) dan masing-masing di Perak serta Pahang (42).
Projek penambahbaikan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Ekonomi MADANI, yang memberi fokus kepada penyelesaian terhadap kesulitan dan masalah dihadapi rakyat, meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Pada 3 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM) mengumumkan kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah KKM.
Katanya, kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran semua fasiliti akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir 2023.
Terdahulu, Dr Zaliha dalam ucapannya berkata, HcFM CONFEX 2023 bertemakan ‘Pengurusan Fasiliti Penjagaan Kesihatan Mampan melalui Teknologi dan Inovasi’ adalah platform yang sesuai untuk mengetengahkan keperluan inovasi yang menjurus kepada teknologi hijau, kecekapan tenaga dan daya tahan industri.
“Ia selaras dengan usaha KKM untuk memperkukuh perkhidmatan sokongan hospital di negara ini.
“Selain itu, sudah tiba masanya pentadbiran hospital dan penyedia perkhidmatan sokongan melihat kerjasama dalam amalan terbaik yang lebih mampan, hijau dan mengambil kira impak terhadap alam sekeliling,” katanya.
Sumber: Berita Harian