fbpx

Terima rasuah RM105,000, dua termasuk penguat kuasa direman

Foto oleh MALAYMAIL / Hari Anggara.

SHAH ALAM: Dua lelaki termasuk seorang anggota penguat kuasa direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM105,000 bagi tujuan mendapatkan surat jaminan kemasukan warga asing ke negara ini.

Perintah reman sehingga Ahad ini dibenarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret hari ini.

Semalam, dua individu itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor dan Pahang ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 1 tengah hari.

Sumber berkata, wang rasuah itu adalah bagi tujuan mendapatkan surat jaminan kemasukan warga asing ke Malaysia untuk bekerja sebagai pelaut sedangkan mereka bukan bekerja sebagai pelaut.

Katanya, suspek pertama berusia 31 tahun adalah anggota penguat kuasa, manakala suspek kedua berusia 43 adalah pemilik syarikat.

“Kedua-dua individu terbabit dipercayai melakukan kesalahan itu dari September hingga Disember 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) & 17 (b) Akta SPRM 2009.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts