fbpx

KPM sedang muktamad garis panduan baharu tangani buli, gangguan seksual

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memuktamadkan garis panduan menangani buli dan gangguan seksual serta peraturan disiplin murid yang baharu bagi menggantikan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959).

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkenaan memaklumkan, garis panduan berkenaan dijangka dapat dikeluarkan dalam masa terdekat.

“KPM sentiasa proaktif dalam menangani kes buli dan gangguan seksual bagi menjamin ekosistem selamat untuk guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan.

“Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan sedia ada seperti yang terdapat dalam surat siaran kementerian, surat pekeliling ikhtisas dan garis panduan berkaitan,” menurut KPM.

Bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual, KPM menyediakan tiga saluran untuk orang ramai, pihak sekolah dan ibu bapa, iaitu talian khas Aduan Buli, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan juga melalui e-mel di alamat [email protected].

“KPM memandang serius isu buli dan gangguan seksual yang membabitkan murid-murid di institusi pendidikan bawah kementerian.

“Sehubungan itu, semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan diarah mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat dan laporan serta tindakan berkaitan buli dan gangguan seksual kepada KPM berdasarkan tempoh hari yang ditetapkan iaitu pada kadar 1:3:7 hari.

“Rekod penyelesaian aduan buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan bawah KPM menunjukkan lebih 90 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari,” menurut kementerian itu lagi.

Mengenai usaha menangani isu buli dan seksual di institusi bawah kementerian, KPM memaklumkan, antaranya mekanisme sedang dilaksanakan kementerian bagi tujuan itu ialah kempen kesedaran di media konvensional dan media sosial mengenai kesan perbuatan terbabit terhadap mangsa

“Selain itu, program pendidikan mengenai bahaya buli dan gangguan seksual juga dilaksanakan secara bersepadu membabitkan aspek kurikulum, kokurikulum serta pembinaan sahsiah dan amalan sekolah penyayang.

“Turut dilaksanakan, intervensi kepada mangsa buli dan kerjasama strategik dengan semua pihak terutama agensi penguat kuasa bagi memastikan isu buli dan gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih efektif,” kata KPM lagi.

Kementerian turut meminta kerjasama dan komitmen berterusan semua pihak, termasuk ibu bapa, pentadbir institusi pendidikan, guru, media, rakan korporat dan seluruh anggota masyarakat untuk sama-sama terbabit secara langsung atau tidak langsung memerangi isu buli dan gangguan seksual.

“KPM sentiasa berusaha memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warga kementerian dipelihara. Oleh itu, tiada kompromi kepada buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah KPM,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts