fbpx

Rapid KL lanjutkan, awalkan operasi sempena Hari Kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Sempena Hari Kemerdekaan, Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel di beberapa stesen LRT, MRT dan KL Monorel untuk sambutan ambang malam merdeka, 30 Ogos ini.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini, berkata stesen yang terbabit dalam pelanjutan masa akan beroperasi sehingga jam 2 pagi pada 31 Ogos.

“Untuk perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, stesen yang terbabit adalah Stesen Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan Ampang Park, manakala laluan KL Monorel, stesen yang terbabit adalah Stesen Bukit Bintang.

“Bagi laluan LRT Ampang/Sri Petaling, membabitkan Stesen Masjid Jamek dan untuk MRT laluan Kajang, stesen terbabit adalah Stesen Pasar Seni dan Bukit Bintang.

“Bagi laluan MRT Putrajaya, stesen yang akan dilanjutkan operasi adalah Stesen Ampang Park dan Persiaran KLCC,” katanya.

Dalam pada itu, katanya bagi memudahkan warga kota menghadiri sambutan Hari Merdeka 2023 di Dataran Putarajaya pada 31 Ogos ini, semua operasi perkhidmatan rel kendalian Rapid KL akan dimulakan seawal jam 4 pagi.

Katanya, Rapid KL juga menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya membabitkan 50 bas bermula jam 4 pagi.

“Selain itu, Rapid KL juga akan menyediakan tiga perkhidmatan bas perantara percuma ke tiga lokasi dari MRT Putrajaya Sentral.

“Ia merangkumi laluan MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya, Nasyrul Quran Precint 14 dan Marina Putrajaya,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran perjalanan, Rapid KL menyarankan semua pengguna perkhidmatannya menggunakan kad Touch ‘n Go dengan baki yang mencukupi.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts