fbpx

Nenek kesal gagal selamatkan jiran rentung

Georgetown: “Beberapa hari lalu, saya kata pada Hock Chuan, jika berlaku bencana seperti kebakaran saya tidak mampu selamatkan dia yang lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar.

“Tidak sangka ia benar-benar berlaku apabila rumah kami terbakar dan saya hanya sempat menyelamatkan suami manakala Hock Chuan maut dalam kebakaran itu.”

Begitu kata Lor Phaik Tin, 72, mangsa yang terselamat dalam kebakaran dua rumah di Kampung Pisang, Ayer Itam, di sini, hari ini.

Dalam tragedi berkenaan, jirannya, Yeoh Hock Chuan, 63, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu ditemukan rentung.

Phaik Tin berkata, ketika kejadian, dia terjaga daripada tidur berikutan suaminya, Loh Chye Cheng, 78, yang juga OKU mahu ke bilik air, kira-kira jam 3 pagi.

Kemudian, Phaik Tin terdengar bunyi seakan percikan arus elektrik sebelum mendapati bahagian hadapan rumah mereka dijilat api.

“Saya tidak sempat ambil dokumen penting dan terus papah suami keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri sebelum berlaku letupan kuat sejurus kami melepasi pagar rumah.

“Jiran menyangka tiada lagi mangsa terperangkap kerana tidak dengar sebarang jeritan sebelum saya beritahu bahawa Hock Chuan masih ada di dalam rumah itu,” katanya ditemui.

Phaik Tin berkata, dia kesal kerana tidak mampu menyelamatkan Hock Chuan namun menerima takdir bahawa jiran yang menyewa rumah di situ sejak lima tahun lalu itu menjadi korban kebakaran.

Katanya, dia juga gembira dapat menyelamatkan suami yang juga lumpuh dan tidak dapat berjalan sejak empat tahun lalu selepas diserang angin ahmar.

“Hock Chuan tinggal sendirian di rumah dan kali terakhir kami berbual ialah pada Jumaat lalu, manakala anak perempuannya yang tinggal berasingan akan datang ke rumah setiap hari bagi menguruskan keperluan sebelum keluar bekerja.

“Hanya saya dan suami tinggal di rumah ini manakala anak kami tinggal berasingan, setakat ini kami belum tahu hendak tinggal di mana,” katanya lagi.

Phaik Tin berkata, dia tidak pasti mengenai punca kebakaran dan menganggarkan kerugian kira-kira RM300,000.

Dalam kejadian itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.44 pagi.

Mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di bahagian bawah katil di satu daripada bilik di kediaman berkenaan dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi dibedah siasat.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts