KUALA LUMPUR: Program Jualan Rahmah Beras yang bermula hari ini, menawarkan beras import pada harga lebih murah berbanding pasarannya dengan sasaran agihan kepada golongan yang memerlukan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata berikutan akses kepada beras putih tempatan yang terganggu ketika ini, KPDN memutuskan subsidi diberi ke atas beras import, dengan harga jualannya pada sekitar RM13 hingga RM14 bagi setiap kampit lima kilogram.
“Diskaun subsidi ini, kita akan pastikan ia tidak lebih daripada yang kita mampu berikan. Contohnya kalau dalam Jualan Rahmah bergerak, beras tempatan lima kilogram dijual pada RM13 hingga RM14, jadi kita akan sedaya upaya untuk jual pada harga sekitar itu (untuk beras import).
“Maknanya, kalau RM13 itu untuk harga beras tempatan, tapi yang Jualan Rahmah Beras ini kita jual beras import,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Today’s Malaysia E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework : The Way Forward di sini hari ini.
Fuziah berkata, pihaknya menyasar pelaksanaan jualan berkenaan diperluas kepada 222 kawasan Parlimen, disamping menggalakkan Ahli Parlimen dan pemimpin setempat mengambil bahagian mengurus dan merancang melaksana program seumpama itu untuk pengundi kawasan masing-masing.
“Maksudnya, kita hasratkan setiap Parlimen itu akan ada program jualan ini. Sebelum ini, ada Ahli Parlimen yang datang jumpa saya mengatakan mereka juga mahu gunakan peruntukan mereka untuk menambah kepada subsidi yang ditawarkan dalam bentuk beras kepada pengundi di kawasan mereka,” katanya.
Katanya, KPDN menggunakan peruntukan Jualan Rahmah RM150 juta yang diberikan kerajaan sebelum ini bagi menjayakan inisiatif yang bertujuan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Mula-mula kita ada RM100 juta, tapi Perdana Menteri tambah lagi RM50 juta. Disebabkan kita tak ada akses kepada beras tempatan, jadi kami akan beri diskaun harga kepada beras import. Kita akan bagi diskaun iaitu subsidi dari kerajaan yang diperoleh dari peruntukan tadi,” katanya.
Selain itu katanya, jualan ini nanti turut mensasarkan penempatan B40, kawasan rumah kos rendah, khususnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Ini salah satu mekanisme untuk kita sampai kepada golongan yang amat terkesan dan memerlukan ini. Satu lagi golongan adalah peniaga, tapi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah maklum akan ambil tanggungjawab untuk beri dan menyalurkan sebahagian (stok) beras untuk kategori peniaga.
“Jadi kami akan fokus kepada ketegori pengguna. Khususnya kategori pengguna yang paling terkesan. Itu akan dibincang dengan lebih terperinci kaedah terbaiknya petang ini. Program (jualan) pertama akan kami war-warkan juga nanti,” katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semalam menegaskan kekurangan beras putih tempatan di pasaran adalah disebabkan berlakunya pembelian panik.
Beliau berkata, sebelum ini beras tempatan tidak dipedulikan, termasuk dalam kalangan peniaga sendiri, namun permintaannya bertambah berikutan harga beras import yang naik, memaksa pengguna beralih kepada beras tempatan.
Sumber: Berita Harian