Sungai Besar: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menolak permohonan seorang lelaki yang dituduh membunuh seorang wanita hamil di Jalan Sungai Limau dekat sini, supaya dirujuk ke hospital psikiatri.
Majistret Siti Hajar Ali menolak permohonan itu atas alasan perkara itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
“Mahkamah berpendapat, secara asasnya permohonan begini hendaklah diputuskan oleh hakim yang menjalankan kes ini iaitu Hakim Mahkamah Tinggi dan mahkamah ini sedar keperluan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah perlu dipatuhi.
“Mahkamah juga berpendapat, penolakan permohonan pada peringkat ini tidak akan memprejudiskan hak tertuduh. Peguam pada bila-bila masa boleh membuat permohonan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang akan menjalankan perbicaraan kes ini nanti,” katanya.
Permohonan itu dibuat peguam, Muhammad Nor Tamrin, yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, pada 3 Ogos lalu.
Pada prosiding lalu, Muhammad Nor memohon mahkamah supaya anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri berikutan hasil temu bual pihaknya bersama tertuduh mendapati, keadaan mental anak guamnya dilihat tidak stabil.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 November ini bagi sebutan semula kes.
Pada 1 Jun lalu, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau di sini, antara jam 8.30 malam 22 Mei dan jam 8 pagi, 23 Mei lalu.
Bekas penuntut kolej itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sumber: Harian Metro