fbpx

Pemilik syarikat kecantikan didakwa buat tuntutan palsu Penjana

© Jeremy Jensen Photography

Kuala Lumpur: Seorang pemilik syarikat kecantikan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif berjumlah lebih RM120,000 di bawah Program Penjana Kerjaya, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mona Liza Ahmad, 38, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengemukakan kepada dua Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Nursofieyana Muhammad Zamri dan Mira Sabriena Romain tujuh dokumen mengandungi butiran palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja atas nama Syarikat Nona Chantique Empire miliknya bagi menuntut insentif berjumlah RM120,060 di bawah Program Penjana Kerjaya untuk 30 pekerja.

Dokumen itu mengandungi butiran matan palsu iaitu ‘Nama-nama pekerja baharu’ yang mana sebenarnya 30 orang pekerja yang dinamakan bukan pekerja Syarikat Nona Chantique Empire dan tertuduh mengemukakan dokumen itu dengan niat untuk memperdaya Perkeso.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, di sini, pada 31 Mei 2021 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang palsu atau silap, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mona Liza turut didakwa atas lima pertuduhan pilihan menggunakan tujuh dokumen ‘Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja’ yang mengandungi butiran palsu kepada Mira Sabriena bagi menuntut insentif berjumlah sama (RM120,060) melalui sistem Penjana Kerjaya di tempat dan masa sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Julaila Jamaludin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Nor Shafika Balqis Jaffri yang mewakili Mona Liza memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan.

Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin untuk tujuh pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan.

Beliau menetapkan 8 November ini sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pengurus syarikat mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berhubung program sama membabitkan tuntutan insentif berjumlah RM36,780.

S Kamala Segaran, 47, didakwa sebagai individu yang menguruskan syarikat Aksara United Management Sdn Bhd bersubahat dengan koordinator projek L Guhan dengan mengarahkan lelaki itu menipu ejen Perkeso untuk mempercayai dua orang yang bukan pekerja adalah pekerja syarikat itu yang mana mendorong Perkeso menyerahkan RM9,600 ke dalam akaun bank syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Perkeso Putrajaya, dekat sini, pada 23 Oktober 2020 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan menyerahkan kepada Mira Sabriena dua dokumen yang mengandungi butiran palsu melalui Guhan, atas nama syarikat Aksara United Management bagi menuntut insentif berjumlah RM27,180 di bawah Program Penjana Kerjaya untuk tiga orang pekerja.

Dokumen itu mengandungi butiran matan palsu iaitu ‘Nama-nama pekerja baharu’ yang mana sebenarnya tiga orang pekerja yang dinamakan bukan pekerja Aksara United Managament dan tertuduh mengemukakan dokumen itu dengan niat untuk memperdaya Perkeso.

Pegawai Pendakwa SPRM Raymond Nion John Timban menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam V Saravanan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya adalah bapa tunggal dan diisytiharkan bankrap sejak 2014.

Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin

#kw mahkamah, program penjana kerjaya, Perkeso, tuntutan insentif, palsu

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts