BUTTERWORTH: Motif dua pekerja kilang meletakkan bom ciptaan mereka sehingga mencetuskan letupan di koridor rumah flat Taman Pandan di sini kelmarin, setakat ini dikenal pasti berpunca daripada tidak berpuas hati terhadap jiran mereka.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar suspek bertindak sedemikian.
“Setakat ini, motif kejadian adalah kerana suspek tidak berpuas hati dengan jiran. Namun polis masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kes ini.
“Dua suspek yang terdiri dari seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun adalah pasangan kekasih menghuni sebuah flat di situ,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis menahan dua suspek itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957,Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Terdahulu, berlaku kejadian letupan yang mengejutkan beberapa penghuni flat berkenaan pada jam 12.56 tengahari Ahad.
Seorang saksi yang keluar membuat pemeriksaan kemudian menemui bungkusan dipercayai bahan letupan dan menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Kemudian, polis terdiri daripada Unit Pemusnah Bom (UPB), Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9) digerakkan ke tempat kejadian dan mendapati bahan letupan itu adalah ‘Improvised Explosive Device’ iaitu peranti letupan yang telah diubahsuai.
Mohd Asri berkata, susulan daripada insiden terbabit polis kemudian menjejaki suspek sebelum membuat penahanan ke atas mereka pada jam 8.30 malam, selepas kira-kira lapan jam selepas kejadian di kawasan flat berkenaan.
“Hasil soal siasat terhadap suspek pertama membawa kepada penemuan satu lagi bom dan peluru buatan sendiri termasuk merampas sepucuk pistol dan kerambit.
“Siasatan ke atas suspek juga, mereka mengaku telah mempelajari cara membuat bom melalui laman web dan memperoleh bahan bagi menghasilkan bahan letupan berkenaan dengan membuat pembelian dalam talian,” katanya.
Jelasnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka juga bebas dari pengaruh dadah.
Sumber: Berita Harian