fbpx

Peniaga tak mengaku guna sijil dan transkrip peperiksaan palsu

© Jeremy Jensen Photography

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, kerana menggunakan dokumen palsu iaitu Sijil Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) dan transkrip peperiksaan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur, di sini, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Joey Ho Wei Cheng, 38, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan, Wei Cheng dengan curangnya menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu Sijil Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) dan transkrip peperiksaan daripada Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur yang diketahui pada masa tertuduh menggunakannya adalah satu dokumen palsu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lembaga Jurutera Malaysia, Jalan Sultan Salahuddin, di sini, pada 23 Jun 2021, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 KK yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, R G Harvind, mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin terhadap tertuduh.

“Syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai,” katanya.

Namun, peguam bela Wei Cheng, Mohamed Musthafa, memohon jaminan minimum atas alasan perlu menanggung isteri yang sedang mengandung dan dua anak berusia tujuh serta tiga tahun.

“Anak guam juga perlu menanggung ibu bapa masing-masing berusia 71 dan 67 tahun yang uzur, selain abangnya berusia 41 tahun yang ada Sindrom Down.

“Tertuduh bekerja sendiri dengan gaji purata RM5,000 sebulan,” katanya.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan, selain menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts