fbpx

Harga ayam di Melaka kekal bawah RM9.40 sekilogram

MELAKA: Bekalan dan trend harga ayam di pasaran Melaka adalah terkawal dan mengikut harga kawalan ditetapkan kerajaan.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri, Norena Jaafar berkata, hasil pemantauan berterusan oleh pegawai pemantau harga dan penguatkuasa kementerian mendapati, rata-rata peniaga mengekalkan harga ayam di bawah harga kawalan iaitu RM9.40 sekilogram.

Kata beliau, terdapat juga premis yang menjual ayam pada harga lebih murah serendah RM7.99 sekilogram.

“Di samping itu terdapat segelintir peniaga yang mengenakan caj pemotongan antara 30 sen hingga RM1 bagi sekilogram ayam tetapi ia adalah pilihan kepada pengguna terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

“Setakat ini tiada aduan rasmi berkaitan harga ayam diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka. Semua pihak dinasihatkan agar mendapatkan info yang sahih sebelum menyebarkan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Norena, sebanyak 24,543 premis telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang setakat 19 Oktober 2023.

Menurutnya, KPDN Melaka telah merekodkan sebanyak 1,008 aduan rasmi yang mana secara amnya berkaitan tentang harga.

“Selain itu, sebanyak 296 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,619,571.85 yang terdiri daripada semua akta undang-undang dikuatkuasakan kementerian ini. Kompaun berjumlah RM54,200 dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

“KPDN Melaka mengingatkan semua peniaga agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini. KPDN juga sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku,” ujarnya. 

Sumber: Utusan

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts