fbpx

‘Jauhi kawasan kebocoran gas amonia di Ara Damansara’

KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai menjauhkan diri dari kawasan perindustrian di Ara Damansara, berikutan kebocoran gas amonia yang dikesan berlaku malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pada masa ini penduduk dan orang ramai di kawasan berhampiran disaran mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika mengalami sebarang simptom yang mencurigakan.

“Pihak polis menerima maklumat kebocoran gas amonia yang berlaku di sebuah kilang memproses ais di kawasan ini, sekitar jam 10.30 malam tadi.

“Susulan kejadian itu, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mengambil keputusan menutup keseluruhan kawasan di Perindustrian Jaya, Ara Damansara, bagi mengelak sebarang kejadian lebih buruk berlaku,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, sehingga kini orang awam dan pekerja di premis industri dalam kawasan itu tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

“Saya juga menasihatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan berhampiran yang terbau gas atau mengalami muntah untuk mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

“Penduduk yang mengalami masalah kesihatan juga dinasihatkan turut membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan udara mendapati bacaan amonia menunjukkan 200 partical per-sejuta (ppm) setakat ini.

Keluasan kawasan perindustrian yang terkesan akibat kebocoran gas amonia ini adalah seluas 400 meter persegi.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts