Batu Pahat: Seorang mekanik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menumbuk serta mencakar leher dan kepala anggota polis, Khamis lalu.
Tertuduh, Badrul Hisham Ghani, 50, mengaku melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Cenderawasih, Sungai Abong di sini, jam 2.30 petang, 26 Oktober lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ke rumah tertuduh lalu memperkenalkan diri.
Bagaimanapun, tertuduh tiba-tiba bertindak agresif dengan menumbuk serta mencakar leher dan kepala seorang anggota polis sebelum berlaku pergelutan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Nurain Sakina Zakri dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM1,800 dan akan dipenjara tujuh bulan jika gagal membayarnya.
Sumber: Harian Metro