Kuantan: Polis menahan lima lelaki Orang Asli dan merampas 382 bungkus plastik mengandungi cecair disyaki air ketum di Kampung Orang Asli Pos Pantos, Kuala Medang di Kuala Lipis, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kesemua yang berusia antara 25 dan 35 tahun itu ditahan di belakang sebuah rumah sekitar 1.30 pagi menerusi Op Tapis yang dijalankan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.
Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 382 bungkusan plastik mengandungi cecair kehijauan disyaki air ketum bersama peralatan memasak iaitu tong gas, periuk dan dapur, kesemuanya dianggar bernilai RM3,820.
“Siasatan awal mendapati kesemua lelaki itu memperoleh bekalan daripada seorang lelaki Orang Asli dikenali sebagai “Bos” yang menetap di Chenderong Balai, Perak.
“Kali terakhir mereka mengambil bekalan daun ketum pada semalam dengan sebanyak 10 kilogram. Mereka didapati telah memproses dan menjual air ketum berkenaan hampir tiga bulan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, kesemua lelaki itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Sumber: Harian Metro