fbpx

Gas amonia kilang ais kiub bocor, 13 pekerja sesak nafas

SANDAKAN: Tiga belas pekerja kilang ais kiub di Batu Tiga di sini, hari ini, dilaporkan cedera dan mengalami sesak nafas selepas sebuah mesin membuat ais pecah.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, seorang daripada mereka dilaporkan parah dan 12 lagi turut mengalami sakit mata dan sakit kulit.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jas Jal, berkata kejadian berkenaan turut menyebabkan kebocoran gas amonia.

Katanya, seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Ketua Operasi melaporkan terdapat mesin membuat ais pecah dan menyebabkan berlakunya kebocoran gas (amonia).

“Semua mangsa diberi rawatan awal di lokasi kejadian dan dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans.

“Pasukan bomba berpakaian lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) dan bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam bangunan,” katanya ketika dihubungi.

Jas berkata, pasukan bomba membuat nyahcemar dan sanitasi di seluruh kawasan terbabit.

Katanya, pemantauan turut dijalankan di kawasan bangunan berhampiran dan mengarahkan semua pekerja untuk segera keluar dari ke kawasan selamat.

“Pihak polis turut mengarahkan kawasan kejadian dan kawasan berhampiran ditutup dengan radius 100 meter sehingga keadaan selamat.

“Operasi ditamatkan pada jam 12.06 tengah hari selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts