PETALING JAYA: Sebanyak 11.8 juta kenderaan dianggarkan akan menikmati tol percuma selama dua hari selepas kerajaan bersetuju melaksanakan inisiatif tersebut bersempena sambutan perayaan Deepavali ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melalui mesyuarat bersama syarikat konsesi turut bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 12 November pukul 11.59 malam.
Jelas beliau, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali. Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
“Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.
Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sebaiknya dan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang disyorkan.
“Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.
“Kementerian Kerja Raya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua yang menyambut perayaan ini. Semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya.
Sumber: Utusan