SHAH ALAM: Jalan Batang Kali-Genting Highland berhampiran kawasan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember tahun lalu dijangka dibuka kepada awam selewat-lewatnya Mei depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Izham Hashim berkata, status projek dengan kos bernilai RM19 juta itu sudah mencapai 38.6 peratus siap.
“Kerja baik pulih dijangka siap 29 Mac dan ia bermula pada Mei lalu. Sekarang sudah 38.6 peratus, ada sedikit kelewatan tetapi akan siap pada Mac (tahun depan).
“Kita jangka ia dibuka kepada awam satu atau dua bulan selepas ia disiapkan kerana mengambil kira mengenai keadaan cerun dan keselamatan laluan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, laporan lengkap mengenai tragedi itu sudah dinyahrahsia untuk paparan umum Oktober lalu dan boleh diakses menerusi laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Katanya, antara laporan terkandung dalam laporan itu hujan lebat berpanjangan menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan tertimbus dengan sisa runtuhan tanah.
“Kita sudah meneliti dan secara umumnya tiada unsur kecuaian mana-mana pihak.
“Ia disebabkan kegagalan kaki cerun yang tepu air dan malangnya, ia tidak memberi sebarang tanda,” katanya.
Tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu mengorbankan 31 nyawa, manakala 61 mangsa terselamat.
Sumber: Berita Harian