fbpx

Pengarah syarikat rugi lebih RM2.3 juta angkara pelaburan palsu

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian lebih RM2.3 juta selepas terpedaya dengan penawaran pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 39 tahun itu kira-kira jam 12.31 tengah hari, Jumaat lalu.

Beliau berkata, hasil rakaman percakapan, mangsa mengetahui berkenaan pelaburan saham tersebut melalui media sosial Facebook.

“Mangsa kemudian menekan ‘link’ pelaburan yang diberikan dan memberikan nombor telefon. Mangsa kemudian ditambah masuk ke dalam satu ‘group Whatsapps’ yang memberikan maklumat berkenaan cara-cara untuk membuat pelaburan saham.

“Mangsa diarahkan untuk mendeposit wang bagi memasuki pelaburan saham yang ditawarkan. Mangsa membuat pindahan wang secara atas talian sebanyak enam kali membabitkan wang berjumlah RM2,378,000 ke dalam enam akaun bank berlainan seperti yang diarahkan.

“Mangsa dimaklumkan berjaya mendapat keuntungan sebanyak RM256,000. Bagaimanapun apabila mangsa hendak membuat pengeluaran wang keuntungan, mangsa dikehendaki membuat bayaran terlebih dahulu sebanyak RM523,000.

“Wanita berkenaan kemudian merasa ditipu dan hadir membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak mudah mempercayai pelaburan-pelaburan yang ditawarkan di sosial media dan membuat semakan terlebih dahulu dengan menghubungi agensi-agensi yang terlibat seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Orang awam juga boleh menghubungi talian ‘997’ National Scam Response Centre (NSRC) bagi membuat semakan dan mendapatkan nasihat terlebih dahulu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews