fbpx

Perdagangan Malaysia bagi Januari hingga Oktober tahun ini lepasi paras RM2 trilion – MITI

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, mencecah nilai RM2.181 trilion dengan eksport berjumlah RM1.186 trilion manakala import bernilai RM995.55 bilion.

Menurut kenyataan pada Isnin, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 8.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas manakala lebihan dagangan berkurangan 7.9 peratus kepada RM190.04 bilion.

“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan Malaysia pada Oktober 2023 berkembang 6.8 peratus kepada RM239.52 bilion. Eksport meningkat 1.5 peratus kepada RM126.19 bilion dan import mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.4 peratus kepada RM113.33 bilion.

“Lebihan dagangan mencecah RM12.87 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-42 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” tambahnya.

MITI memaklumkan perdagangan Malaysia bagi Oktober 2023 susut pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.4 peratus tahun ke tahun, berbanding penurunan dua digit yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Eksport turun 4.4 peratus dan import berkurangan secara marginal sebanyak 0.2 peratus, jelasnya.

Prestasi itu seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti China, Taiwan dan Indonesia yang masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Oktober 2023 serta pengurangan dalam import global, menurut MITI.

“Bagi Oktober 2023, eksport keluaran pertanian (7.1 peratus syer) meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada RM8.90 bilion berbanding Oktober 2022, merekodkan pertumbuhan positif buat pertama kali selepas penurunan dua belas bulan berturut-turut,” jelas MITI.

“Walau bagaimanapun, eksport kelengkapan pengangkutan, barang makanan diproses, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan kertas dan palpa serta barangan kayu mencatatkan pertumbuhan,” jelasnya.

MITI memaklumkan eksport hasil galian (6.9 peratus syer) berkurangan 21.9 peratus tahun ke tahun kepada RM8.75 bilion kesan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Kementerian itu menjelaskan berbanding September 2023, eksport keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing meningkat sebanyak 10.7 peratus dan 10.4 peratus manakala eksport barangan perkilangan mencatatkan penurunan marginal.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, eksport barangan perkilangan menyusut 6.3 peratus kepada RM1.016 trilion berbanding tempoh yang sama 2022 berikutan pengurangan eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit dan keluaran getah, menurutnya.

Walau bagaimanapun, eksport barangan makanan diproses, barangan kertas dan palpa serta kelengkapan pengangkutan merekodkan pertumbuhan ketara.

“Eksport hasil galian menguncup 12.8 peratus kepada RM84.92 bilion disebabkan penurunan eksport LNG dan petroleum mentah kesan kejatuhan harga komoditi tersebut.

“Eksport keluaran pertanian berkurangan 23.0 peratus kepada RM77.74 bilion disebabkan eksport yang lebih rendah bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penyusutan harga eksport minyak sawit,” tambah MITI.

Pada Oktober 2023, perdagangan dengan ASEAN meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun, merangkumi 26.9 peratus atau RM64.39 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Walau bagaimanapun, pengurangan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

“Import dari ASEAN mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.4 peratus kepada RM27.82 bilion,” tambah kementerian itu.

MITI menjelaskan eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan dua digit ialah Vietnam yang meningkat sebanyak RM585.2 juta dan Filipina naik sebanyak RM441.5 juta didorong oleh eksport keluaran petroleum yang lebih tinggi.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, perdagangan dengan ASEAN menyusut 6.9 peratus kepada RM600.49 bilion berbanding tempoh yang sama 2022, jelasnya.

“Eksport menurun 6.7 peratus kepada RM350.8 bilion berikutan pengurangan eksport bagi keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Namun begitu, pertambahan eksport dicatatkan untuk barangan galian bukan logam, barangan minuman dan tembakau serta barangan makanan diproses.

“Import dari ASEAN turun 7.1 peratus kepada RM249.69 bilion,” menurut MITI.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts