IPOH: Polis akan merujuk semula kertas siasatan kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas laporan penuh perubatan mangsa kes itu diperoleh daripada hospital, hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kertas siasatan serta laporan perubatan itu akan dihantar kepada AGC pada Isnin ini untuk arahan seterusnya.
“Kita sudah melengkapkan kertas siasatan berkenaan dan sudah menghantarnya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebelum diserahkan kepada AGC di Putrajaya dan kertas siasatan terbabit bagaimanapun telah dipulangkan semula kepada pihak kita untuk diambil tindakan.
“Setakat ini kita unggu laporan lengkap daripada Hospital Kuala Kangsar, itu sahaja …,” katanya pada sidang media hari ini.
Mohd Yusri berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang unsur untuk menyelesaikan perkara itu di luar bidang perundangan sama ada daripada pihak ibu bapa, sekolah dan sebagainya.
Pada 11 November lalu, media melaporkan polis akan merujuk semula kertas siasatan berhubung kejadian buli di MCKK Kuala Kangsar susulan beberapa arahan khusus daripada AGC antaranya untuk melengkapkan siasatan seperti laporan penuh perubatan mangsa.
Mohd Yusri Hassan Basri sebelum ini berkata, kertas siasatan berhubung kes itu dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian