fbpx

Kematian tahanan tiada unsur jenayah – Polis

SHAH ALAM: Tiada unsur jenayah dikesan melibatkan kematian seorang lelaki yang ditahan di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, individu berumur 33 tahun itu menerima hukuman penjara dua tahun dari tarikh tangkap iaitu 5 Julai lalu atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tahanan terbabit difahamkan baru selesai sebutan kes di Mahkamah Majistret Pengkalan Chepa pada 22 November lalu

“Lelaki itu sakit jam 7.42 petang ketika dalam tahanan sebelum pihak perubatan Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa, Kelantan datang bagi memberikan rawatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, individu itu kemudian disahkan meninggal dunia ketika pemeriksaan dilakukan.

“Lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan berkenaan.

“Tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan pada badan tahanan berkenaan menerusi proses bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 23 November lalu,” katanya.

Azri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kematian lelaki terbabit.

“Setakat ini masih belum disahkan punca kematian tahanan berkenaan dan kes ini masih dalam siasatan sementara menunggu keputusan makmal.

“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT),JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan melibatkan pelbagai aspek sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Koroner untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews