fbpx

Tiga mengaku tak salah rompak barang kemas RM1.4 juta

Kuala Kangsar: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata kumpulan membabitkan pelbagai barang kemas bernilai RM1.4 juta, awal bulan ini.

R Gunasellan, 52; A F Adrian Raj Dominic, 29; dan R Anandan, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiganya bersama dengan enam orang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang panjang terhadap Chong Yong Seng, 26; dan Tan Kang Chiat, 26, dan merompak harta dalam milikan mereka membabitkan pelbagai barang kemas yang mengakibatkan kerugian RM1.4 juta.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kenderaan Jalan Dato Maharajalela di sini, kira-kira 9.40 pagi, 6 November lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan, manakala tertuduh diwakili peguam, Tulasi Ayaoo.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh yang menetap di Lembah Klang itu, masing-masing dijamin RM20,000 dengan dua penjamin, serta membenarkan syarat tambahan yang diminta oleh pihak pendakwaan iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Rohaida turut menetapkan 29 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan forensik.

Sementara itu di mahkamah sama, Gunasellan dan Anandan masing-masing dihukum denda RM2,500 atau enam bulan penjara, selepas kedua-dua mereka masing-masing mengaku bersalah bagi pertuduhan mengambil dadah.

Mereka berdua turut dikenakan pengawasan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tempoh dua tahun atas pengakuan salah itu.

Pendakwaan untuk kes dadah yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews