fbpx

Banjir kilat di Johor Bahru akibat hujan luar biasa, air pasang

JOHOR BAHRU: Banjir kilat berlaku di sekitar bandar raya ini semalam, berpunca daripada taburan hujan yang sangat lebat, luar biasa serta pertembungan air pasang penuh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati hujan yang bermula 1.30 tengah hari hingga 5 petang itu melebihi 60 milimeter (mm) iaitu tiga kali ganda daripada kuantiti biasa antara 10 hingga 20mm.

“Semalam berlaku air pasang penuh sekitar 2.7 hingga 2.9 meter, jadi apabila Selat Johor air pasang, ditambah hujan lebat di kawasan Johor Bahru, air tidak boleh keluar walaupun semua pam air JPS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) beroperasi tetapi masih tidak mencukupi untuk mengeluarkan kuantiti air yang banyak.

“Situasi itu menyebabkan 38 lokasi di bandar raya ini terjejas antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Kolam Air, Kampung Mohd Amin, Jalan Yahya Awal dan juga Dataran Bandaraya Johor Bahru,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi mesyuarat itu, pelbagai kaedah penyelesaian telah diputuskan bagi menangani masalah banjir kilat di Greater Johor Bahru (JB) yang merangkumi bandar raya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai.

Mohd Jafni berkata antara keputusan telah ditetapkan adalah semua projek pembangunan di negeri ini terutamanya daripada segi keluasan parit dan kolam takungan akan mengambil kira kadar intensiti hujan melebihi 100mm.

“Jawatankuasa telah bersetuju bahawa kuantiti hujan yang biasa adalah 10 hingga 20mm dan semalam hujan adalah 60mm, jadi kita akan tingkatkan paras kepada 100mm.

“Ini bermakna apa sahaja pembangunan dibuat selepas ini mesti menjurus kepada 100mm. Langkah ini diambil bagi memastikan masalah banjir kilat tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM66.09 juta untuk mengatasi banjir di kawasan Greater JB tahun depan berbanding RM55.01 juta pada tahun ini.

Semalam, tular beberapa keping gambar dan video di media sosial memaparkan banjir kilat berlaku di sekitar bandar raya ini.

Hujan lebat yang berterusan selama dua jam bermula 12 tengah hari itu mengakibatkan beberapa kawasan perumahan serta jalan-jalan utama dinaiki air.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews