fbpx

Lelaki ditahan disyaki keldai akaun

BALIK PULAU: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjadi keldai akaun sindiket penipuan dalam urusan pembelian kereta terpakai sehingga menyebabkan kerugian RM21,150 baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 57 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya di pekarangan Balai Polis Kulim Hi-Tech, Kulim di Kedah pada Selasa.

“Mangsa seorang lelaki berusia 44 tahun berminat untuk membeli sebuah kereta terpakai jenis Mini Cooper (S) warna merah dengan harga RM37,000 setelah melihat iklan penjualan melalui laman sosial Facebook ‘Car Giant Autos’.

“Lelaki yang bekerja sebagai juruteknik itu terus berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan membuat enam transaksi secara dalam talian dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21,150 sebelum menyedari telah tertipu kerana suspek masih meminta wang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan tersebut manakala suspek direman untuk siasatan lanjut kerana dipercayai memberikan kad bank kepada pihak lain untuk kegunaan jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews