fbpx

Surat tawaran haji keluar tak lama lagi

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu bagi musim 1445H/2024 kepada mereka yang layak dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, mengingatkan bakal jemaah supaya tidak menyerahkan wang deposit kepada syarikat Pengelola Jemaah (PJH) selagi belum menerima surat tawaran ke Tanah Suci.

“Insya-Allah, surat tawaran menunaikan haji akan dikeluarkan sedikit masa lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kerajaan Arab Saudi mengekalkan kuota haji jemaah Malaysia iaitu 31,600 orang sebagai kuota penuh yang diluluskan bagi musim haji tahun depan.

Syed Saleh berkata, lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) sudah diserah kepada 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi pada musim haji kali ini.

“TH menyerahkan lesen PJH kepada syarikat yang benar-benar layak dan memenuhi syarat ditetapkan.

“Syarikat pelancongan Islam yang lain diminta memberi komitmen penuh untuk bersama-sama membendung penipuan perkhidmatan pakej haji,” katanya.

Beliau turut mengingatkan individu atau agensi pelancongan supaya tidak menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan pihaknya kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, menjadi satu kesalahan sekiranya syarikat pelancongan yang tidak mempunyai lesen PJH menawarkan pakej haji dan mengelola perkhidmatan haji, sekali gus melanggar Seksyen 27, Akta Tabung Haji 1995, Akta 535.

Beliau turut meminta orang ramai sentiasa mengambil langkah berhati-hati supaya kes penipuan seperti sebelum ini tidak berulang.

Katanya, rakyat Malaysia perlu mematuhi segala peraturan kerajaan Arab Saudi iaitu mengerjakan haji menggunakan visa haji dan bukan visa pelancong yang menyalahi peraturan negara itu.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews