Georgetown: Kira-kira 590,000 penduduk Pulau Pinang dijangka berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan di Loji Rawatan (LRA) Sungai Dua bermula 10 hingga 14 Januari depan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, tugas pembaikan membabitkan penggantian dua injap sepanjang 1,200 milimeter dalam saluran air paip terawat utama masing-masing berada dalam LRA dan berhampiran pagar LRA yang mengalami kebocoran.
“Ia membabitkan kerja penyelenggaraan berskala besar selain membabitkan projek air sampingan di 22 lokasi lain di seluruh negeri khususnya injap rosak dan bocor dengan ada bahagian yang sudah tidak diganti selama 50 tahun.
“Kerja pembaikan mengambil masa sehari dan selepas selesai kami akan membekalkan semula bekalan air secara berperingkat dan kami jangka bekalan air akan pulih seperti biasa antara 48 jam hingga 96 jam.
“Jadi tidak semua kawasan akan mengalami gangguan bekalan selama empat hari termasuk beberapa kawasan di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang yang mendapatkan bekalan air dari LRA Air Itam dan LRA Teluk Bahang,” katanya kepada pemberita di Kompleks Tun Abdul Razak, hari ini.
Lebih 50 lokasi di Seberang Perai dan hampir keseluruhan kawasan pulau dijadual mengalami gangguan bekalan air termasuk Georgetown, Pulau Tikus, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas termasuk lapangan terbang, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar, Teluk Tempoyak, Pulau Jerejak dan Pulau Betong.
Zairil berkata, operasi membaiki satu daripada injap yang sepatutnya dilakukan akhir tahun lalu tidak lagi boleh ditangguh kerana dikhuatiri akan menimbulkan risiko kerosakan mengejut sekali gus menimbulkan masalah lebih serius termasuk kepada pengguna dalam jangka masa panjang.
Menurutnya, injap bocor berkenaan menjejaskan operasi pengepaman air terawat di LRA dan menyebabkan kehilangan air ketara (NRW) yang secara purata mencapai 26.3 peratus setahun berdasarkan statistik 2022.
Beliau menyarankan operasi perniagaan membabitkan penggunaan air yang banyak seperti premis mencuci kenderaan dan dobi tidak beroperasi sepanjang tempoh gangguan bekalan air berlaku.
“Kita sudah memaklumkan kepada pihak industri termasuk kepada pengusaha hotel. Mengikut undang-undang, mereka harus mempunyai tangki simpanan air untuk kegunaan selama 48 jam memandangkan kerja fizikal dijangka mengambil masa sehari sebelum bekalan air akan kembali pulih secara beransur-ansur.
“Mesyuarat Exco semalam turut membincangkan perkara ini dan kita akan mengatur koordinasi termasuk membabitkan persatuan bomba sukarela dan mengerahkan tangki-tangki bantuan di kawasan yang terjejas,” katanya.
Sumber: Harian Metro