fbpx

Tiga individu ditahan kes bunuh warga emas disambung reman

Georgetown: Tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian warga emas maut ditikam 27 kali di seluruh badan dalam kejadian di kawasan parkir sebuah apartmen di Jalan Perak, di sini pada Selasa, disambung reman tiga hari lagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, perintah reman terhadap dua lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 42 tahun itu yang bermula Rabu lalu tamat hari ini.

“Polis telah mendapatkan perintah sambung reman terhadap tiga individu terbabit bagi membantu siasatan kes bunuh itu. Kesemua yang ditahan adalah kawan rapat kepada lelaki warga emas yang maut dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kes supaya menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mengesan saksi kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di lokasi,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, lelaki warga emas berusia 60-an itu dipercayai diserang sebelum ditikam bertubi-tubi di seluruh badan terutama pada leher dan dada sebelum meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

Pemeriksaan awal terhadap mayat mangsa menemukan 27 kesan tikaman hampir keseluruhan badannya dan dipercayai suspek menikam dengan menggunakan pisau.

Berdasarkan siasatan awal, suspek dalam kejadian itu dipercayai dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang masuk ke kawasan parkir apartmen sebelum seorang daripadanya bertindak menyerang mangsa dengan menikamnya.

Polis menolak kejadian itu sebagai samun kerana barangan berharga termasuk duit masih berada pada mayat mangsa.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews