fbpx

Ancam serang rumah ibadat: Mahadi diperintah bela diri

KUALA LUMPUR: Bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’, Mahadi Mamat diperintah Mahkamah Tinggi hari ini untuk membela diri terhadap lapan tuduhan berkaitan aktiviti keganasan dan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memerintahkan Mahadi membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap setiap tuduhan ke atasnya, di akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, Noorin berkata, mahkamah berpuas hati pendakwaan berjaya mengemuka keterangan prima facie bagi setiap elemen tuduhan dan ia mewajarkan sabitan jika ia (setiap elemen) berkenaan tidak dipatahkan.

Katanya, mahkamah juga berpuas hati tidak terdapat sebarang kecacatan dalam pertuduhan berkenaan.

“Oleh itu, tertuduh diperintahkan membela diri dan diberikan tiga pilihan, iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri atau ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh melalui keterangan secara tidak bersumpah, atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas,” katanya.

Sementara itu, peguam Mahadi, Farida Mohammad memberitahu mahkamah, pembelaan akan memanggil lima saksi dan akan memaklumkan jika ada perkembangan lain.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding bela diri pada 4 dan 18 April, 27 hingga 30 Mei dan 24 Jun tahun hadapan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Rraya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim Low Qin Hui bertindak bagi pihak pendakwaan.

Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk membuat serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, dan mengancam untuk membunuh empat warga tempatan berprofil tinggi, melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.

Dia juga didakwa memberi memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan itu dalam persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas dan membuat arahan untuk melakukan perbuatan terbabit.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia didakwa mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan perbuatan berkenaan.

Mahadi juga didakwa dengan tuduhan ketujuh dan kelapan iaitu merekrut beberapa individu menyertai kumpulan ‘Sejati Sejiwa’, untuk melakukan perbuatan pengganas dan memiliki item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan DAESH dan perbuatan keganasan, dalam sebuah telefon bimbit.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews