fbpx

Pembunuhan Zayn Rayyan: Air sungai akan disedut, cari petunjuk baharu

PETALING JAYA: Siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang memasuki hari keenam hari ini diteruskan dengan pencarian petunjuk baharu dipercayai di aliran anak sungai berdekatan penemuan mayat mangsa.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Forensik Bukit Aman dilihat tiba di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira pukul 11.40 pagi.

Difahamkan, operasi hari ini bagi menyedut keluar air di aliran anak sungai yang terletak berdekatan lokasi kejadian.

Operasi berkenaan dijangka melibatkan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Setakat ini tiada sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai operasi tersebut.

Bagaimanapun, kerja mengepam air kedengaran bermula sekitar jam 12.20 tengah hari dan ketika ini keadaan di lokasi hujan lebat.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, polis percaya kes pembunuhan dipercayai didalangi seorang suspek.

Jelas beliau, ia berdasarkan petunjuk kesan jerutan dan pergelutan ditemui di tubuh mangsa berusia yang enam tahun itu.

Polis juga, katanya, percaya penjenayah menggunakan laluan tikus di kawasan sekitar sebelum meletakkan mayat mangsa di saliran air.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada tengah hari 5 Dis lepas sebelum ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran keesokannya, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati dibunuh.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts