fbpx

Dua ditahan bantu kes bunuh akauntan di Cheras

KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang akauntan yang mayatnya ditemui dalam keadaan bogel di tepi Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata kedua-dua suspek yang juga rakan mangsa, ditahan di sekitar ibu negara dan Selangor, semalam.

“Kedua-dua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun kini direman sehingga 18 Disember ini untuk membantu siasatan.

“Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti lokasi mangsa dibunuh sebelum mayatnya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian akibat pelbagai kecederaan kesan hentakan benda tumpul di beberapa bahagian tubuhnya.

Katanya, polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Kelmarin, BH melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak berpakaian, dipercayai dibunuh di tepi Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini.

Polis menerima maklumat penemuan mayat berkenaan oleh orang awam kira-kira jam 6 pagi. Pemeriksaan mendapati mayat berkenaan tidak berpakaian serta berkedudukan meniarap di tepi jalan selain mengalami beberapa kecederaan di badan.

Siasatan lanjut mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts