fbpx

Kes bunuh Zayn Rayyan, polis fokus siasatan di Blok R

KUALA LUMPUR: Polis hari ini meneruskan pencarian bukti dan petunjuk baharu di Apartmen Idaman, Damansara Damai dengan memfokuskan siasatan di Blok R yang juga blok kediaman Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 tahun.

Pada hari ketujuh siasatan, kenderaan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula dilihat tiba di pekarangan blok berkenaan sekitar jam 9.30 pagi.

Ini diikuti kehadiran pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 10 pagi.

Kehadiran mereka dipercayai membantu polis mengepam keluar air takungan di kawasan anak sungai di mana mayat Zayn Rayyan ditemui 6 Disember lalu, kira-kira 200 meter dari Blok R selepas proses itu tergendala kerana hujan lebat, semalam.

Dalam pada itu, pihak media tidak dibenarkan berada di lokasi berhampiran blok R oleh pihak polis, dan tindakan itu dipercayai untuk memastikan siasatan berjalan dengan lebih lancar.

Semalam, BH melaporkan pasukan Unit Forensik PDRM hari ini, dibantu anggota bomba mengepam keluar air dari kawasan takungan air yang terdapat pada anak sungai berhampiran lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui 6 Disember lalu.

Ini bertujuan mencari bukti-bukti baharu yang mungkin ada dalam takungan air berkenaan.

Proses mengeringkan takungan air berkenaan bermula jam 12.20 tengah hari namun tergendala susulan hujan lebat lebih dua jam di lokasi.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam pada 6 Disember lalu.

Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasi daripada mati mengejut kepada kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts