fbpx

Lima suspek samun berparang ditahan

Nilai: Lima suspek yang terbabit dengan kejadian samun menggunakan parang di daerah ini ditahan polis dalam beberapa tangkapan di Selangor dan daerah ini semalam.

Dalam kejadian di Nilai Impian, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam Selasa lalu, suspek memecah masuk sebuah rumah dan melarikan beberapa barang peribadi mangsa yang dianggarkan bernilai RM10,600.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kira-kira jam 3 pagi Selasa lalu, kaunter aduan Balai Polis Nilai menerima aduan daripada seorang lelaki warga India memaklumkan kejadian.

“Ketika mangsa berada di rumah bersama tiga lagi rakan berusia 27 hingga 41 tahun di sebuah taman perumahan, mereka didatangi empat lelaki bersenjata sebilah parang.


“Suspek melarikan telefon bimbit serta beberapa barangan peribadi milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM10,600,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diperolehi, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai menahan lima suspek yang disyaki terbabit dalam kes itu.

“Semua suspek yang berusia 22 hingga 33 tahun itu ditahan dalam beberapa tangkapan di Petaling Jaya dan Sepang di Selangor serta di daerah ini bermula jam 2 pagi hingga 6 petang semalam.

“Polis merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan ketika kejadian. Kesemua barang milik mangsa juga ditemui dalam serbuan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, empat suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 19 Disember manakala seorang lagi suspek direman selama empat hari mulai hari ini hingga 17 Disember.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts