KUALA LUMPUR: Penumpang transit aliran ringan (LRT) mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, susulan peningkatan jangkitan COVID-19.
Tinjauan di LRT di ibu negara hari ini mendapati orang ramai menggunakan pelitup muka walaupun masih tidak gusar dengan peningkatan kes penyakit itu.
Pesara perkhidmatan awam, Rokiah Rasul, 64, beliau tidak kisah walaupun jangkitan COVID-19 naik kerana mengambil beberapa jenis vitamin untuk menguatkan sistem imunnya.
“Saya juga menerima suntikan vaksin sebanyak tiga kali. Walaupun begitu, kita tetap perlu menjaga keselamatan diri. Contohnya memakai pelitup muka di tempat yang sesak.
“Saya cuma risau sekiranya ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti beberapa tahun lalu, ramai yang akan terkesan. Kita dah ada pengalaman dengan PKP. Jika dilaksanakan kembali, pasti ekonomi akan bertambah teruk terutamanya kepada individu yang bekerja sendiri,” katanya hari ini.
Peniaga, Nurul Wardah Abdul Nashir, 39, pula berkata, beliau mula mengamalkan penjarakan fizikal walaupun belum ada arahan khusus untuk melakukan sedemikian.
“Saya sedar kes sedang meningkat. Kita perlu memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Selain itu, kita juga perlu menjaga kesihatan dan kebersihan.
“Saya selalu pergi ke tempat yang padat tetapi bukan pada waktu puncak untuk mengelak daripada berselisih dengan orang ramai. Saya harapkan COVID-19 dapat ditangani. Sekiranya tidak, kita tidak dapat menjalankan kegiatan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta yang tidak ingin dikenali berkata pelitup muka bukan sahaja perlu dipakai ketika COVID-19 meningkat, malah penting kerana negara kerap terdedah dengan jerebu.
“Tanpa pelitup muka kita akan menghadapi kesukaran untuk bernafas. Selain itu, pelitup muka ini perlu kerana selain daripada COVID-19 ramai di antara rakan sekerja saya yang dijangkiti penyakit selesema dan demam virus. Jadi, lebih baik kita mencegah penyakit daripada merawat,” katanya.
Semalam BH melaporkan, sejumlah 20,696 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh negara antara tempoh seminggu bermula 10 hingga 16 Disember lalu, meningkat hampir 8,000 kes berbanding minggu sebelumnya.
Sumber: Berita Harian