fbpx

Wanita abai tiga anak dikenakan bon berkelakuan baik, perintah khidmat masyarakat

MELAKA: Pembantu am sekolah dikenakan bon berkelakuan baik bercagar berserta perintah khidmat masyarakat 240 jam oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan mengabaikan tiga anak kandungnya tanpa jagaan, dua tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas tertuduh, Masanizah Roslan, 40, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan pada sebutan kes berkenaan hari ini.

Ketika dituduh kali pertama pada Ogos tahun lalu, tertuduh tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan atas dua pertuduhan itu, namun menukar pengakuan selepas kes dibicarakan.

Dalam penghakimannya, Darmafikri berkata, mahkamah mengambil kira fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan selain kesalahan serius kerana membabitkan kanak-kanak yang juga anak kandung tertuduh.

“Tertuduh dengan ini dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagar RM7,000 dengan seorang penjamin mengikut peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (KAJ).

“Selain itu, tertuduh juga diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini di bawah Seksyen 31(3A) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 (AKKK 2001).

“Jika gagal mematuhi peruntukan Seksyen 294 KAJ, tertuduh boleh dipanggil semula ke mahkamah dan dikenakan hukuman mengikut AKKK 2021,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan pertama dia didakwa dengan cuai meninggalkan tiga anaknya berusia 11 tahun, 8

tahun dan 6 tahun tanpa jagaan yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana di sini antara 23 hingga 25 September 2021.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh berdepan dakwaan melakukan kesalahan serupa terhadap ketiga-tiga anak kandungnya itu di tempat sama sama pada 16 Jun sehingga 18 Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Peguam Umar Zulkarnain memohon tertuduh dilepaskan dengan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 KAJ atas alasan itu kesalahan pertama tertuduh yang baru melahirkan anak keempat berusia 11 bulan dan masih bekerja sebagai pembantu am sekolah.

Katanya, ketika kejadian anak guamnya seorang ibu tunggal dan berdepan masalah keluarga akibat perceraian dan kes itu tidak membabitkan kecederaan fizikal kepada tiga anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom membantah perintah bon berkelakuan baik kerana berpendapat ia tidak mencapai hasrat hukuman bersifat mencegah masyarakat melakukan kesalahan sama.

Katanya, pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira fakta kes iaitu anak-anak ditinggalkan di rumah oleh tertuduh tanpa pengawasan orang dewasa dan perbuatan itu turut disaksikan jirannya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts