fbpx

Saluran paip pecah, 200,000 pengguna dijangka terjejas

Georgetown: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) sedang melaksanakan pembaikan saluran paip yang pecah di dasar sungai Sungai Perai bermula hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, PBAPP memaklumkan saluran paip pecah itu ditemui kira-kira 8.26 pagi semalam dan ia adalah paip utama menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Menurutnya, pihaknya terpaksa menutup sementara saluran terbabit untuk memudahkan tugas kimpalan di dasar sungai.

“Air terawat dari LRA Sungai Dua dipam melalui saluran paip ini ke saluran paip berkembar dasar laut ketiga dan seterusnya disalurkan ke daerah Barat Daya.

“Penutupan saluran paip ini akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual untuk kira-kira 200,000 pengguna di daerah Barat Daya dan Seberang Perai,” katanya.

Menurutnya, PBAPP melantik kontraktor untuk menyiasat kejadian kerana saluran paip berkenaan berada kira-kira 3.5 meter di dasar sungai.

Katanya, penyelam komersial melakukan penyelaman pada 10.30 malam tadi selain sudah melakukan kawalan injap untuk mengurangkan aliran air kira-kira 75 peratus untuk memudahkan kerja pemeriksaan bawah air.

“Penyelam menemui lubang berukuran kira-kira 20 sentimeter (sm) x 30sm pada bahagian permukaan saluran paip dan kerja kimpalan dijadualkan untuk membaiki saluran paip dengan mengimpal plat keluli di atas bahagian yang pecah, hari ini.

“Kerja-kerja kimpalan mesti dijalankan di dalam air dan kontraktor akan menentukan masa terbaik untuk memulakan tugas berdasarkan cahaya (untuk penglihatan) dan keadaan sungai (untuk keselamatan),” katanya.

Katanya, pihaknya akan menghebahkan senarai kawasan terjejas dalam masa terdekat.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts