fbpx

Abdul Rashid Hussain dilantik Pengerusi Lembaga TH baharu

Putrajaya: Tan Sri Abdul Rashid Hussain, tokoh perniagaan dan pengasas kumpulan perbankan terkemuka RHB, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Mengumumkan pelantikan itu pada kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mohktar berkata, Abdul Rashid dilantik bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar.

“Sesungguhnya pengalaman luas sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia di samping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan,” katanya.

Abdul Rashid, yang kini adalah Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa, pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Bhd daripada 1994 hingga 1998 dan Pengerusi Putrajaya Holdings (1995 hingga 2000).

Beliau turut diangkat sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M atas sumbangan kepada negara dan masyarakat.

Abdul Rashid juga antara enam ahli Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH yang dilantik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, Mohd Na’im berkata, laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 hingga 2020 sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.

Mohd Na’im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Azman atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan warga TH.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews