fbpx

Bayi 16 bulan positif dadah, polis tahan ibu kandung, teman lelaki

ISKANDAR PUTERI: Sepasang kekasih ditahan polis selepas disyaki memberi dadah kepada bayi lelaki berusia 16 bulan yang dipercayai anak mereka.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata pasangan itu ditahan Selasa minggu lalu selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru membuat laporan mengenai bayi malang itu yang didapati positif dadah.

“Selepas mendapat aduan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Salleh, Johor Bahru dan seorang wanita berusia 31 tahun di HSA.

“Wanita yang juga ibu kandung bayi berkenaan ditahan ketika menghantar mangsa yang mengalami sawan ke hospital,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati pasangan kekasih itu positif dadah, manakala bayi itu pula didapati positif methamphetamine atau amphetamine.

Menurutnya, pasangan itu sudah dituduh di mahkamah semalam mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mereka ditawarkan jaminan RM6,000 setiap seorang, namun tidak dapat membayar, maka masing-masing kini ditahan di Penjara Koreksional Ledang dan Penjara Kluang. Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts