fbpx

Tarif elektrik, PM jamin penyasaran subsidi baik untuk rakyat

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan sebarang pengumuman berkaitan program penyasaran subsidi adalah baik untuk rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk penyasaran subsidi berkaitan tarif elektrik.

“Semua pengumuman kalau tentang penyasaran subsidi itu baik untuk rakyat,” katanya apabila ditanya media sama ada pengumuman tarif elektrik dijangka petang ini akan memberi kegembiraan kepada rakyat.

Terdahulu, Anwar hadir menyertai kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara di sini yang turut dihadiri, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari.

Dalam pada itu, mengulas mengenai 32 syarikat konsesi tol lebuh raya membantah tindakan kerajaan menganugerahkan secara langsung projek Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) kepada syarikat swasta, Anwar memberi jaminan ia akan dibuat mengikut proses tender dan tatacara perolehan biasa.

“Kami akan melalui proses biasa. Tidak ada asas untuk menganggap proses itu akan melalui tender yang dirundingkan… tidak. Kami perlu melalui proses yang betul, telus kerana kita sudah menjelaskannya dengan jelas,” katanya.

Laporan media yang memetik sumber sebelum ini memaklumkan, kerajaan menandatangani ‘perjanjian pelantikan’ didakwa dengan syarikat berkaitan YTL Corporation Bhd pada 17 November lalu dan memberikan projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts