Ampang: Seorang penuntut lelaki sebuah kolej vokasional didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis, Khamis lalu.
Tertuduh yang juga pesalah muda Muhammad Danish Darwisyh Ali Cakir, 18, mengaku bersalah sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Normaizan Ramli.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman sementara mendapatkan laporan sosial tertuduh.
Mengikut pertuduhan, penuntut jurusan automotif di Banting itu didakwa sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu tiga anggota polis dengan cara melarikan diri semasa menjalankan pemeriksaan di Jalan Ampang Saujana, di sini, pada 4.50 pagi, 21 Disember lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mengesahkan tertuduh adalah pesalah muda dan menawarkan jaminan RM4,000.
“Memandangkan tertuduh adalah pesalah muda, kami memohon sebutan tarikh lain untuk mendapatkan laporan sosial,” katanya.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak yang mewakili tertuduh merayu wang jaminan rendah dengan mengambil kira pendapatan ibu bapanya.
Mendengar rayuan kedua-dua pihak, Normaizan menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan 31 Januari untuk keputusan laporan sosial.
Sumber: Harian Metro