fbpx

Eksekutif akaun dipenjara 24 tahun, seleweng wang syarikat lebih RM680,000

MELAKA: Seorang wanita bekas eksekutif akaun sebuah syarikat dihukum penjara berjumlah 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas enam kesalahan pecah amanah dan menyalahgunakan wang majikannya berjumlah RM680,108.13 kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Tan Siau Ling, 44, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding sebutan kes berkenaan yang berlangsung secara berasingan di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam.

Ketika kali pertama dituduh di mahkamah sama pada 20 Jun tahun lalu, tertuduh selaku Eksekutif Akaun di Hap Yeng Seng Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan.

Hari ini, di Mahkamah Sesyen 2, dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM386,858.85 daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat berkenaan dalam amaun berbeza ke dalam akaun peribadinya serta akaun syarikat milik bekas suaminya, Yew Meng Kiat Ent.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis syarikat itu di No 32-1, Jalan PM 5 Plaza Mahkota Melaka pada tarikh berbeza antara 24 Mei hingga 14 Oktober 2019, 15 hingga 28 Ogos 2019 dan 11 September 2019.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 3, dia turut mengaku salah atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM293,249.28 iaitu dengan memasukkan wang berkenaan dalam jumlah berbeza kepada tiga akaun bank miliknya iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat sama pada tarikh berbeza antara 4 Julai hingga 23 Oktober 2019 dan antara 20 Ogos hingga 24 September 2019.

Berdasarkan fakta kes, pengadu seorang pengarah urusan syarikat berkenaan, mengesan penyelewengan wang syarikat dilakukan tertuduh ketika membuat semakan audit akaun pembayaran kepada pembekal.

Pengadu mendapati tertuduh mengambil wang yang sepatutnya dibayar kepada beberapa pembekal syarikat pengadu apabila invois dan baucar pembayaran nama syarikat yang dibayar adalah tidak sama.

Penyelewengan dikesan bermula sejak 24 Mei hingga 23 Oktober 2019 dan tertuduh membuat 47 transaksi pembayaran tidak sah dan menggunakan wang syarikat tanpa kebenaran.

Terdahulu, Peguam Nur Atifah Kamal Effendi merayu tertuduh dikenakan hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf sepanjang ditahan dipenjara sejak 20 Jun 2023.

Katanya, tertuduh melakukan penyelewengan wang syarikat akibat terpedaya dengan penipuan sindiket pelaburan dalam talian.

“Tertuduh kini ibu tunggal dan menyara tiga anak masih bersekolah serta seorang ibu yang uzur.

“Saya percaya ini adalah kesalahan pertama dan terakhir dilakukan tertuduh yang sudah insaf apabila menunjukkan rekod yang baik sepanjang ditahan di penjara kerana tidak dijamin,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Rashidah Baharom bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira fakta kes jumlah wang yang diseleweng.

Selepas mendengar dan menimbangkan fakta kes serta hujah kedua-dua pihak, Mohd Sabri dan Darmafikri menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Jun 2023, sekali gus tertuduh hanya perlu menjalani penjara empat tahun sahaja.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts